Tiada Rombakan Dalam Kementerian Wilayah – Khalid

40
0

PUTRAJAYA: Menteri Wilayah yang baharu tidak berhasrat untuk melakukan rombakan menyeluruh terhadap agensi di bawah Kementerian Wilayah, sebaliknya mahu memastikan pentadbiran dan pengurusan terus dipertingkatkan.

Khalid Abdul Samad berkata, negara yang dipimpin oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) membawa perubahan ke arah pentadbiran lebih telus, lebih amanah serta bebas daripada sebarang bentuk rasuah dan penyelewengan.

“Saya datang bukan untuk membawa satu rombakan. Jangan rasa apabila kita datang ambil alih kerajaan akan buat rombakan menyeluruh… semua tukar.

“Semua orang PH ambil jawatan yang ada sebagai ketua setiausaha lah, presiden lah… semua nak rombak. Itu bukan cara kita,” kata kepada pemberita ketika sesi lawatan pertamanya di Perbadanan Putrajaya (PPj) di sini, semalam.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah, Datuk Seri Adnan Md Ikhsan dan Presiden PPj, Datuk Seri Hasim Ismail.

Dalam pada itu, Khalid berpendapat, mereka yang memberi perkhidmatan terbaik dan boleh membantu ke arah mencapai wawasan akan dikekalkan.

“Kita datang untuk membawa perubahan ke arah pentadbiran lebih telus dan beramanah, jadi semua yang dapat bersetuju bersama dalam komitmen ke arah itu akan kita kekalkan.

“Tak perlu kita nak rombak kerana bukanlah semua ini tak betul, kita menghargai apa yang telah dilaksanakan dan yang penting bagi kita untuk menentukan langkah ke hadapan itu lebih telus, lebih bersih, lebih amanah dan bebas daripada apa jua bentuk rasuah dan penyelewengan.

“Kita bukan nak cantas orang ini, cantas orang itu dan penting adalah pentadbiran serta pengurusan dipertingkatkan sehingga kita dapat yang terbaik dengan kos paling munasabah,” katanya.

Ditanya mengenai isu penjualan 64 lot tanah kerajaan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada pemaju, beliau berkata, pihaknya akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak yang bertanggungjawab melakukan siasatan berkenaan.

Beliau berkata, sekiranya didapati ada elemen jenayah berhubung siasatan terhadap itu, mereka yang terbabit tidak akan dilindungi.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kepong (DAP) Lim Lip Eng membuat laporan meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat segera kes penjualan 64 bidang tanah berkeluasan 171 hektar pada harga RM4.28 bilion kepada Yayasan Wilayah Persekutuan pada 2013 membabitkan bekas menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.