Tiada Petunjuk Baharu Kes Bunuh Imam Fadi – KPN

5
0

KUALA LUMPUR: Selepas hampir enam bulan pembunuhan pensyarah Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UNIKLBMI) warga Palestin, Dr Fadi M Al Batsh, polis masih belum menemui sebarang petunjuk baharu bagi merungkai kes itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata tiada perkembangan lanjut berhubung pembunuhan Fadi yang juga seorang imam.

“Tiada perkembangan terbaru berhubung kes itu. Namun, bukan bermakna kami (polis) mendiamkan diri mengenai perkara itu.

“Kami sudah menghubungi Interpol, malah sudah menghantar pegawai ke Bangkok, Thailand untuk mencari petunjuk, namun belum ada perkembangan terbaru diperoleh,” katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas, Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis dan Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Pada April lalu, Fadi, 35, disahkan maut selepas ditembak lebih 10 kali oleh dua lelaki menaiki sebuah motosikal berkuasa tinggi di Jalan Meranti, Medan Idaman, Setapak, di sini, kira-kira jam 6 pagi, ketika berjalan ke surau bagi menunaikan solat Subuh.

Dalam perkembangan berasingan, Mohamad Fuzi memaklumkan pihaknya akan memantau penganjuran Oktoberfest walaupun belum menerima sebarang notis permohonan penganjuran festival berkenaan.

“Tahun lalu, kami ada membuat tangkapan (individu yang mengancam ketenteraman awam) ketika penganjuran festival itu. Namun, setakat ini tiada tangkapan dibuat untuk tahun ini.

“Kami difahamkan ada enam lokasi penganjuran festival itu di seluruh negara. Kami sedang memantau perkara ini meskipun permohonan penganjuran festival terbabit belum diterima,” katanya.

Semalam, Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad yang juga Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH), dilaporkan membenarkan Oktoberfest atau pesta arak itu dianjurkan di ibu negara jika mematuhi syarat ditetapkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Antara syarat ditetapkan adalah pesta itu tidak dianjurkan di tempat terbuka serta tidak boleh disertai oleh individu beragama Islam.