Tiada Pembekuan Pengambilan Guru Baharu – Mahdzir Khalid

130
0
KONGSI

KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid menegaskan bahawa tiada sebarang pembekuan akan dibuat terhadap pengambilan guru baharu tahun ini.

Sebaliknya, graduan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) akan ditawarkan jawatan mengikut unjuran yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan.

“Saya ingin tegaskan bahawa guru lepasan IPG dan IPTA akan diambil seperti biasa seperti yang dilakukan tahun-tahun sebelum ini.

“Namun ia juga tertakluk kepada kekosongan daripada guru-guru yang bersara dan pembukaan kelas-kelas dan sekolah baharu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Agung Tahunan Pertubuhan Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (GAGASAN) Ke-6, dekat sini, malam tadi.

Beliau membuat kenyataan tersebut sebagai membidas khabar angin kononnya Kementerian Pendidikan membekukan pengambilan guru baharu, mulai tahun ini.

Pada masa sama Mahdzir juga turut menyatakan kualiti pendidikan negara berupaya membentuk ketamadunan masyarakat Malaysia supaya setanding dengan negara-negara maju.

Katanya, untuk mencapai hasrat tersebut, kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang mampu memacu transformasi bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Untuk melahirkan pelajar yang berkualiti, guru-guru juga perlu dilatih dengan kemahiran yang tinggi seiring dengan rancangan PPPM,” jelasnya lagi.