Tiada Krisis Kewangan, MRT Laluan Kedua Diteruskan – Najib

78
0
KONGSI

KUALA LUMPUR: Projek pembinaan MRT Laluan Kedua akan tetap diteruskan walaupun negara kini berdepan dengan cabaran ekonomi global yang sedikit sebanyak menjejas bajet kerajaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata ia adalah antara komitmen kerajaan untuk memastikan pembinaan tersebut dapat disempurnakan dengan lancar, membawa manfaat kepada semua secara saksama termasuk dari segi peluang pekerjaan dan pendapatan selain perkhidmatan MRT itu dapat dinikmati orang awam.

“Ini jelas sekali menunjukkan bahawa Malaysia bukanlah satu negara yang gagal seperti yang dituduh oleh sebilangan ahli politik tertentu dan kerajaan tidak sama sekali menghadapi apa-apa krisis kewangan,” kata Najib menerusi catatan dalam blognya www.najibrazak.com semalam.

Najib yang mempengerusikan perbincangan perolehan berkaitan pembinaan MRT Laluan Kedua semalam berkata ia juga membuktikan kerajaan sentiasa mengutamakan pelbagai inisiatif dalam rancangan pembangunan negara.

“Saya tegaskan sekali lagi bahawa kita akan terus berbelanja hanya secara berhemah dan patut, terutamanya dalam projek-projek yang berpaksikan rakyat seperti infrastruktur dan pengangkutan,” katanya.

Menurutnya, bagi MRT Laluan Pertama, sebanyak 43 peratus daripada nilai keseluruhan pakej pembinaan diberikan kepada kontraktor Bumiputera sebagai inisiatif memastikan agenda ekonomi Bumiputera terpelihara.

“Bagi Laluan Kedua pula, kerajaan terus menggalakkan penglibatan Bumiputera melalui sekurang-kurangnya 45 peratus daripada jumlah nilai pakej dijangkakan selain keperluan minimum sebanyak 30 peratus diberi kepada kontraktor Bumiputera bagi kerja-kerja perundingan yang ditetapkan oleh MRT Corp,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan akan meneruskan usaha untuk memartabatkan sistem pengangkutan awam negara demi kemudahan dan keselesaan rakyat.