The Equanimity: Saya Tidak Tahu – Najib

35
0

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mendakwa tidak tahu-menahu mengenai dakwaan kapal mewah Equanimity dibeli menggunakan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas Perdana Menteri berkata, siasatan mesti dibuat bagi mengetahui siapa sebenarnya pemilik kapal bernilai RM1 bilion terbabit.

“Saya tidak tahu mengenai perkara itu, saya tidak pernah menaiki kapal terbabit.

“Saya hanya mengetahui mengenai perkara ini selepas dilaporkan media.

“Pada waktu itu, kerajaan terdahulu lebih berminat untuk menyelesaikan isu International Petroleum Investment Co (IPIC) dengan pihak Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Isu IPIC lebih penting berbanding Equanimity tetapi isu kapal sering dibangkitkan dan dilihat sebagai langkah populis,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, penyelesaian isu IPIC memberi kebaikan yang lebih besar berbanding bidaan terhadap kapal Equanimity.

“Saya tiada kaitan dengan kapal terbabit, malah ia tertakluk kepada litigasi.

“Aset terbabit sudah susut nilainya, tidak semua orang di dunia ini mampu membeli kapal semewah itu,” katanya.

Equanimity yang dikaitkan dengan ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low, sudah memasuki perairan Malaysia hari ini dari Indonesia dan tiba di Pelabuhan Klang kira-kira jam 12 tengah hari tadi.