Termasuk PATI, Pekerja Asing Di Malaysia Lebih 15% – Richard Riot

310
0
KONGSI

PUTRAJAYA: Jumlah pekerja asing di negara ini berkemungkinan melebihi 15% sekiranya diambil kira pekerja asing tanpa izin (Pati) yang berada di dalam negara, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot.

Richard berkata, setakat Disember 2015, jumlah pekerja asing berdaftar di negara ini adalah 2,135,035.

“Bagaimanapun, mereka yang tidak mempunyai dokumen berdasarkan program pemutihan untuk setiap 10 pendatang asing, terdapat 8 Pati.

“Ini bermakna, dianggarkan sejumlah 1.7 juta pekerja asing tanpa dokumen berada di dalam negara,” kata Richard, ketika sidang media di pejabatnya di Putrajaya, hari ini.Beliau berkata, daripada jumlah itu, terdapat 282,287 pekerja Bangladesh di dalam negara, termasuk 148 daripada mereka berada di Sarawak.

Rancangan Malaysia ke-11 memperuntukkan siling 15% pekerja asing di dalam negara, sekitar 2.3 juta daripada jumlah keseluruhan 15.3 juta keseluruhan pekerja di dalam negara.

“Kerajaan menyertai 7 lagi Perjanjian Persefahaman (MoU) bersama negara sumber seperti Indonesia, India, Thailand, Kemboja, Pakistan, Sri Lanka, dan Vietnam,” katanya, merujuk kepada MoU yang ditandatangani semalam dengan kerajaan Bangladesh untuk membawa pekerja asing negara itu ke dalam negara.

“Memang benar jumlah pekerja asing di dalam negara melebihi sasaran sekiranya dimasukkan sekali pekerja asing tanpa izin.

“Sebab itu kita akan berusaha memastikan lebih banyak penguatkuasaan dilakukan untuk mengelakkan daripada melebihi paras itu,” katanya, dan menambah, kerajaan tidak boleh terus bergantung dengan khidmat pekerja asing.

Beliau berkata, sekiranya terdapat permintaan daripada majikan, barulah kerajaan akan melakukan penawaran terhadap mereka. – INSIDER