Terima Kasih Kerajaan BN

65
0
KONGSI

Oleh: Fadhil Daud

SEKINCHAN: Seorang nelayan  warga Malaysia yang ditahan pihak berkuasa kelautan Indonesia sejak Februari 2016 akibat memukat ikan melepasi kawasan sempadan negara itu , selamat pulang ke pangkuan keluarganya petang tadi.

Perkara itu adalah kejayaan yang dicapai hasil rundingan antara Perdana Menteri , Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Indonesia, Joko Widodo  semasa rundingan tahunan ke-12 Malaysia-Indonesia  di Kuching pada Novembar lalu yang disepakati bersama dalam pembebasan nelayan yang ditahan menceroboh kawasan perairan masing-masing.

Menurut Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi berkata,  pembebasan Chua Kee Chan merupakan  usaha berterusan  kerajaan Barisan Nasional (BN), dalam  melaksanakan politik khidmat bakti kepada rakyat tanpa mengira fahaman dan idealogi yang berbeza.

“Setakat ini ada 2 orang nelayan yang berjaya dibebaskan ketika Pilihan Raya Kecil Sungai Besar pada 2 tahun yang lepas dan hari ini pembebasan  Chua Kee Chan adalah baki nelayan yang dikeluarkan.

“Adajuga yang telah dibebaskan diperingkat awal, tapi pembebasan itu adalah secara berperingkat-peringkat; Mungkin ada keperluan daripada  segi dokumentasi antara kedua-dua buah negara yang mesti dihormati.

“Inilah sebenarnya perbezaan BN dan parti-parti lain; Saya menjiwai semangat politik khidmat bakti itu, kerja dan terus bekerja tidak kira dalam keadaan yang sukar sekalipun kita akan bantu sehabis daya demi rakyat,” jelasnya ketika ditemui .

Tambah Budiman, kejayaan membawa pulang nelayan itu adalah disebabkan manifestasi  hubungan kedua negara Malaysia-Indonesia yang baik dan akrab seperti adik-beradik.

Menurut Chan, perkara yang dirindui setelah menjejakkan kaki di Malaysia adalah untuk merasai masakan kari yang sinonim dengan makanan india atau mamak.

Namun yang paling utama, beliau gembira kerana diberikan kesempatan sekali lagi bertemu dengan keluarga, sanak-saudara, sahabat-handai  dan kampung halaman.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada BN yang tidak jemu berusaha mempertemukan saya dan keluarga yang tercinta,” ujarnya menahan sebak.

Terdahulu, Chuan Kee Chan tiba dengan menaiki bot laju Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)  dan ditemukan dengan keluarganya di jeti Pantai Redang, Sekinchan pada jam 4:30 petang.

Beliau telah ditahan selama 2 tahun 3 bulan di Penjara  Labuhan Deli, Medan, Indonesia dan merupakan nelayan ketiga yang berjaya diselamatkan oleh BN di kawasan itu.