Teliti Semua Faktor, Tidak Tunduk Desakan – Tun M

20
0

PUTRAJAYA: Kerajaan akan mengambil kira pelbagai faktor sebelum membuat sebarang keputusan mengenai isu penceramah bebas, Dr Zakir Naik, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, Malaysia tidak akan bersetuju dengan mudah terhadap sebarang desakan sebelum meneliti dengan lebih lanjut berkaitan isu berkenaan.

“Kita tidak akan dengan mudah dipengaruhi desakan pihak lain, kita perlu melihat semua elemen sebelum memberi maklum balas terhadap desakan yang dibuat.

“Jika tidak seseorang akan menjadi mangsa,” katanya pada sidang media selepas program Taklimat Governans, Integriti dan Anti Rasuah di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, dilaporkan berkata tiada tindakan akan dilakukan untuk menghantar Zakir pulang ke India.

“Di pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia), kita tidak ada apa-apa tindakan untuk hantar dia balik ke India dalam masa terdekat, kecuali ada agensi lain, saya tidak pasti, tetapi setakat saya tahu, tiada tindakan menghantar dia pulang ke India dalam tempoh ini,” katanya.

Baru-baru ini, beberapa portal berita melaporkan Zakir akan diekstradisi ke India, namun pihak peguam yang mewakili penceramah itu menafikan perkara berkenaan.

Zakir meninggalkan India sejak tahun 2016 selepas didakwa terbabit dengan kegiatan mempromosi kegiatan keganasan di negara itu.