Teks TPPA Disiarkan Kepada Umum Petang Ini – Mustapa

73
0

KUALA LUMPUR: Teks Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) akan disiarkan untuk tatapan umum dalam tempoh 24 jam bermula petang ini, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mustapa ketika penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2016 di Dewan Rakyat hari ini berkata, teks perjanjian itu akan dapat diakses melalui laman web kementeriannya (Miti).

“Teks ini dapat diakses di dalam laman web Miti dalam tempoh 24 jam. Teks ini panjang, ada 30 bab, beberapa ratus muka surat. Panjang ceritanya.

“Kerana dibangkitkan di dalam Dewan ini, yang mana ahli-ahli Yang Berhormat minta didedahkan kepada umum, maka masanya akan tiba, iaitu dalam tempoh 24 jam. ‘Nothing to hide’,” katanya.

Selain itu, teks berkenaan juga katanya akan turut dibawa ke Parlimen untuk dibahaskan di Dewan Rakyat, dan sekiranya terdapat keraguan, kajian “cost benefit analysis” akan dijalankan PricewaterhouseCoopers dan Institute Of Strategic & International Studies.

“Semua akan diketahui, daripada A hingga Z. Selepas itu, yang mana kita belum pasti, teks ini akan diberikan kepada dua pihak yang sedang mengkaji TPPA, yang sedang buat kajian ‘cost benefit analysis’.

“Dalam tempoh dua atau tiga minggu, mereka akan menyiapkan kajian dan ia juga akan menjadi bahan rujukan kepada umum,” katanya sambil menambah, TPPA akan dibahaskan dan dibuat keputusan di dalam Parlimen seperti yang dijanjikan kerajaan sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya, tarikh muktamad membentangkannya belum diputuskan memandangkan ia belum dibincangkan secara rasmi dengan pihak Yang Dipertua Dewan Rakyat.

“Kalau ikut cadangan awal, mungkin ia akan berlangsung pada bulan Januari atau awal bulan Februari. Itu ikut cadangan kerajaan. Tertakluk kepada keputusan speaker,” kata Mustapa, yang juga ahli Parlimen Jeli.

Beliau berkata, sebaik sahaja dokumen itu didedahkan kepada umum, sesiapa sahaja boleh mengaksesnya dan ia tidak terhad hanya kepada rakyat Malaysia.

“Petang ini saya akan keluarkan satu kenyataan berkaitan perjanjian ini dan kandungan terperinci perjanjian ini, dari bab satu hingga bab 30, akan diketahui bukan sahaja oleh ahli Parlimen, tetapi oleh rakyat Malaysia dan seluruh dunia.” – INSIDER