Tawan Semula Sungkai – Zahid

24
0
KONGSI

SUNGKAI: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu Barisan Nasional (BN) merampas semula kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungkai yang sebelum ini tewas kepada pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Timbalan Perdana Menteri berkata, usaha itu perlu bagi memastikan Sungkai turut menerima tempias pembangunan dan keistimewaan seperti dinikmati dua lagi kawasan DUN iaitu Slim dan Behrang.

Katanya, ketika ini hanya DUN Sungkai yang terletak di bawah Parlimen Tanjung Malim diwakili pembangkang manakala yang lain diwakili BN.

“Oleh yang demikian, saya sangat berharap Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib (ADUN Slim yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim), Datuk Rusnah Kassim (ADUN Behrang) dan tentunya juga Datuk Seri Ong Ka Chuan (Ahli Parlimen Tanjung Malim), sudah melakukan yang terbaik (tetapi) Sungkai terlepas ke tangan orang lain (pembangkang).

“Tolong beritahu pengundi Sungkai untuk baliklah kepada BN agar Sungkai dapat terus dibangunkan sebagaimana Behrang dan Slim River mendapat manfaat.

“Bagaimana daerah Muallim terus dimajukan dan memperoleh kemakmuran, kita rampas semula Sungkai kembali kepada BN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Mesra Timbalan Perdana Menteri Bersama Rakyat di Padang FELDA Gunung Besout 1, di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Pengerusi MCA Perak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon.

Pada PRU-13, wakil BN di Sungkai, Goh Kim Swee tewas kepada wakil DAP, A Sivenesan dengan majoriti 3,511 undi.

Ahmad Zahid berkata, walaupun pada PRU yang lalu beliau datang berkempen ke Sungkai sebagai Menteri Pertahanan, kali ini beliau akan turun membantu atas kapasiti Timbalan Perdana Menteri.

“Ini janji saya, saya akan datang semula ke sini (Sungkai) dan akan membantu keempat-empat calon Parlimen dan ADUN di Tanjung Malim kerana saya tidak mahu pengundi dinafikan hak mereka.

“Jangan dengar perkara yang tidak baik. Dengar perkara yang baik-baik sahaja. Kita sama-sama perbaiki kelemahan supaya kesejahteraan dapat dinikmati sepenuhnya,” katanya.