Tak Boleh Abai Bahasa Melayu Dalam Iktiraf UEC – Anwar

23
0

KUALA LUMPUR: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata soal bahasa Melayu tidak boleh diabaikan dalam isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).

Menurut Anwar, ketetapan bahasa Melayu sebagai tunjang dalam dasar pendidikan tidak boleh ditolak ansur dalam apa jua keadaan.

“Kita boleh pertimbang apa jua pun seperti mana wujudnya sekolah Arab yang boleh diiktiraf tetapi kita tidak boleh abaikan bahasa Melayu dan penguasaan bahasa itu dalam mana sistem pun,”  kata Anwar semasa ditemubual program Astro Awani.

Anwar berkata beliau percaya Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik cukup berwibawa untuk menyelaraskan segala isu-isu yang berbangkit berhubung isu tersebut.

Menurutnya, dalam perbincangan bersama tokoh pendidikan Cina, mereka turut memberi jaminan isu bahasa Melayu bukan satu masalah bagi mereka.

“Kalau begitu, menteri boleh menetapkan ini boleh dimeterai dalam satu peraturan dan undang-undang yang jelas supaya tidak ada tanggapan bahawa dasar pendidikan dikorbankan kerana semata-mata pertimbangan politik baharu,” kata Anwar.

Temubual bersama Anwar di dalam program AI yang disiarkan setiap Khamis, 8.15 malam di saluran 501 Astro AWANI dibuat melalui Skype minggu ini memandangkan beliau sedang menjalani rawatan di Turki.