Tak Ada Sebab Usir Sivarraajh Dari Parlimen – Zahid

38
0

KUALA LUMPUR: Tindakan Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof mengarahkan anggota parlimen Cameron Highlands C Sivarraajh meninggalkan sidang parlimen bertentangan perkara 50 Perlembagaan Persekutuan.

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata, kes pembatalan keputusan pilihan raya itu kini dalam proses rayuan dan Sivarraajh masih merupakan anggota parlimen yang sah.

“Tidak ada sebab Sivarraajh diusir semata-mata kerana desakan anggota Parlimen Jelutong, RSN Rayer tanpa meneliti peruntukan Parlimen.

“Apabila mahkamah pilihan raya membatalkan kemenangan beliau dan menyebabkan kemungkinan satu pilihan raya kecil diadakan, pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut boleh membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

“Mereka boleh memfailkan notis rayuan dalam masa 14 hari dari tarikh keputusan sepertimana termaktub di bawah Seksyen 36A (2) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” kata Zahid dalam kenyataan medianya.

Menurut Zahid berdasarkan Seksyen 36C akta tersebut, keputusan hakim pilihan raya hanya dianggap muktamad setelah tiada sebarang rayuan yang difailkan dalam masa 14 hari daripada tarikh keputusan.

“Justeru itu keputusan membatalkan kemenangan beliau di Cameron Highlands tidak ada kaitan dengan kehadiran di sidang Dewan Rakyat kerana beliau akan membuat rayuan dalam tempoh 14 hari yang ditetapkan.

“Oleh itu kerusi Parlimen Cameron Highlands tidak boleh dikosongkan mengikut Perkara 50 Perlembagaan Persekutuan sehingga hakim pilihan raya memperolehi keputusan kes rayuan mahkamah persekutuan.

“Yang Dipertua Dewan Rakyat perlu membenarkan Dato Sivarrajjh menghadiri sidang Parlimen sepertimana diperuntukkan di bawah undang-undang pilihan raya,” katanya.

Terdahulu Mohamad Ariff hari ini mengarahkan Sivarraajh meninggalkan persidangan Dewan Rakyat untuk ‘mendapatkan pandangan peguam’ selepas statusnya sebagai anggota parlimen menjadi tanda tanya.

Pada 30 November lalu, mahkamah pilihan raya membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi kerusi Cameron Highlands dan mengarahkan supaya pilihan raya diadakan semula.

Bagaimanapun, Sivarraajh mempertahankan kehadiran beliau dengan alasan Mahkamah Tinggi belum menghantar notis kehakiman kepada Speaker Dewan Rakyat bagi memaklumkan kerusi parlimen berkenaan telah dikosongkan. – MK