SUV Dinaikkan Dari Dasar Laut

51
0

GEORGETOWN: Selepas tiga hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan, kenderaan utiliti sukan (SUV), Mazda CX-5 putih yang terbenam dalam laut di tiang 34 Jambatan Pulau Pinang berjaya dinaikkan, petang ini.

SUV terbabit dinaikkan jam 5.50 petang dan turut kelihatan mayat mangsa, Moey Yun Peng, 20, masih berada di tempat duduk pemandu.

Kenderaan itu berjaya dinaikkan pada percubaan kali kedua selepas percubaan kali pertama jam 5 petang gagal akibat tali tercabut dari cangkuk.

Bagaimanapun, usaha gigih pasukan penyelam yang menyambung kembali tali kira-kira 30 minit kemudian membolehkan ia ditarik kren.

Orang ramai yang berada di atas jambatan turut bersorak gembira sejurus melihat SUV itu berjaya dinaikkan.

Seramai 41 penyelam daripada pelbagai agensi terbabit dalam operasi di laut bagi mengikat tali pada badan kenderaan berkenaan untuk dinaikkan.

Faktor arus deras dan air berkelodak turut mengganggu penglihatan penyelam.

Kenderaan itu terjunam ke dalam laut awal pagi Ahad lalu selepas terbabit dalam kemalangan bersama Toyota Vios yang dipandu secara merbahaya dan melulu dalam kejadian kira-kira jam 2.45 pagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, mayat mangsa berjaya dikeluarkan daripada kereta terbabit jam 6.36 petang sebelum dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.

Menurutnya, mayat Yun Peng ditemui di tempat duduk pemandu dengan masih memakai tali pinggang keledar.

“Kita menemui dompet mangsa dalam seluarnya dan mayat mangsa ditemui dalam keadaan sempurna namun kembung kerana sudah tiga hari berada dalam air.

“Kereta mangsa juga dihantar ke Balai Polis Trafik Bukit Mertajam,” katanya.