Sumbangan Aidilfitri Imam, Bilal, Siak, Guru KAFA

42
0

KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan untuk memberikan sumbangan khas Aidilfitri sebanyak RM400 untuk semua imam, bilal, siak dan guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di negara ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika mengumumkan perkara itu berkata ia diputuskan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Guan Eng berkata, kerajaan akan berusaha untuk berkhidmat untuk negara yang lebih baik dan beliau juga berharap semua umat Islam di negara ini menyambut Aidilfitri dengan gembira.

Beliau berkata demikian ketika menyertai majlis Buka Puasa di Masjid Jamek Kubang Buaya, Butterworth, Pulau Pinang, hari ini.

Katanya beliau begitu teruja kerana dapat menyertai rakan-rakan di Pulau Pinang dalam majlis berbuka puasa itu, walaupun sering kali menyertai majlis seperti itu di Putrajaya.

“Sejak 10 tahun lalu, saya sering terbabit dalam majlis berbuka puasa di Pulau Pinang dan tahun ini, ia membuatkan saya merindui Pulau Pinang.

“Hari ini saya mendapat peluang untuk kembali berbuka di sini, kerana saya tahu penduduk di sini mempunyai hubungan yang terbaik antara satu sama lain dan menjalani kehidupan yang berkualiti,” katanya.