Sultan Muhammad V Letak Jawatan Yang di-Pertuan Agong

126
0

KUALA LUMPUR: Sultan Muhammad V meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong XV berkuat-kuasa hari ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz, berkata peletakan jawatan baginda itu selaras Perkara 32 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, baginda sudah memaklumkan perkara itu secara rasmi kepada Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja melalui warkah yang diutuskan kepada Setiausaha Majlis Raja-Raja.

“Bagi menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV, Sultan Muhammad V, dengan ini Istana Negara memaklumkan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong XV berkuat kuasa 6 Januari (Ahad) bersamaan 29 Rabiulakhir 1440H selaras Perkara 32(3) Perlembagaan Persekutuan.

“Sepanjang menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong, baginda berusaha memenuhi tanggungjawab dan amanah selaku Ketua Negara, berperanan sebagai tunggak kestabilan, sumber keadilan, teras perpaduan dan payung penyatuan di kalangan rakyat.

“Tuanku menzahirkan ucapan terima kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja yang memilih baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 bermula 13 Disember 2016,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.