Harimau Malaya Tumbang

19
0

SEMANGAT melawan Harimau Malaya nyata belum cukup untuk menandingi Vietnam apabila tumpas 0-1 pada aksi final kedua Piala AFF di Stadium Nasional My Dinh untuk Naga Merah menjulang trofi berprestij itu menerusi agregat 3-2.

Kesilapan sama yang dilakukan benteng apabila tidak mengawal pergerakan pemain lawan dalam kotak penalti dihukum penyerang veteran Vietnam Nguyen Anh Duc pada minit keenam.

Gol pada awal permainan itu banyak memberi kesan kepada rentak skuad kendalian Tan Cheng Hoe yang perlu bangkit mencari dua gol bagi memburu gelaran kedua selepas 2010.

Harimau Malaya melakukan apa yang termampu namun Vietnam yang menduduki ranking ke-100 dunia membuktikan kenapa mereka lebih berhak bergelar Raja Asia Tenggara ketika ini.

Dalam perlawanan sukar seperti ini, penyerang Zaquan Adha Abd Radzak, Mohamadou Sumareh dan Safawi Rasid perlu tajam di depan gol tapi malangnya beberapa peluang disia-siakan.

Kuisan Sumareh meleret di tepi tiang gol pada minit ke-10, rembatan Syahmi Safari pula ditepis keluar penjaga gol Dang Van Lam di minit ke-44.

Agak mengecewakan lebih enam situasi bola mati yang diperoleh Malaysia tidak dimanfaatkan termasuk tandukan Sumareh diselamatkan atas garisan oleh Van Lam.

Apapun, taktikal bijak jurulatih Park Hang-seo dengan tidak menurunkan Anh Duc pada aksi pertama tampak berhasil kerana mahu memastikan pemain itu cukup bertenaga untuk bermain di Hanoi.

Bagaimanapun, ia bukan penamat buat perjuangan Harimau Malaya yang berada di ranking ke-167 dunia itu terus bangkit dalam saingan bola sepak antarabangsa.

Mereka yang tidak diberi peluang berjaya melakukan kejutan ke final dan Cheng Hoe perlu diberi peluang untuk terus menggilap falsafah permainannya bersama Harimau Malaya.