Suhu Di Kuala Pilah Jatuh Hingga 21 Darjah Celcius – METMalaysia

82
0
KONGSI

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini mengesahkan beberapa kawasan terutama di selatan Semenanjung mengalami penurunan suhu dengan Kuala Pilah di Negeri Sembilan merekodkan suhu paling rendah pada 21 darjah Celcius sejak tengah malam tadi hingga awal pagi.

Ketua Pengarahnya Alui Bahari berkata bagaimanapun keadaan itu adalah fenomena biasa ketika musim monsun timur laut.

“Cuaca mendung, hujan berterusan dan pergerakan tiupan angin sejuk monsun timur Laut merupakan antara faktor cuaca sejuk yang melanda beberapa negeri di Semenanjung sejak semalam.

“Cuaca sejuk ini berlaku terutamanya di kawasan pedalaman dan daratan dengan sejak tengah malam semalam hingga awal pagi ini, stesen meteoreologi dari selatan Semenanjung hingga ke Johor mencatatkan suhu 22 darjah Celcius minimum dan maksimum 25 darjah Celcius berbanding suhu biasa 30 hingga 31 darjah Celcius,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.