Stadium “Merah Jambu” Kelantan Tidak Selamat – Bomba Kelantan

504
0

KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan mengesan beberapa kelemahan dan keadaan tidak selamat di Stadium Mohammad IV.

Menurut Pengarah JBPM Kelantan Azmi Osman, antara yang dikesan dalam pemeriksaan mengejut siang tadi ialah tahap keselamatan seperti kawalan keselamatan laluan keluar masuk, sistem pendawaian, laluan kecemasan yang terhad dan sebagainya.

“Antaranya jalan keluar stadium yang mana semua pintu perlu ada pengawal keselamatan untuk mengawasi pintu sekiranya berlaku kebakaran.

“Pintu ke padang kena ada juga dan pemeriksaan di sebelah astaka wujud juga kelemahan dan boleh ditambah baik oleh pengurusan stadium,” ujar Azmi ketika ditemui media di sini.

Pemeriksaan mengejut terhadap stadium berusia 49 tahun itu dibuat menjelang bermulanya saingan Liga Super pada 16 Februari depan.

Azmi juga bimbang jika kelemahan yang ada tidak diperbaiki, insiden kemalangan boleh mengundang bahaya sekiranya berlaku kecemasan.

JBPM Kelantan juga katanya akan menyiapkan laporan penuh mengenai stadium yang sedang dicat warna pink itu untuk diserahkan kepada Perbadanan Stadium Kelantan.