SPR Dapat Pengerusi Baharu

184
0

KUALA LUMPUR: Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah dilantik sebagai pengerusi baharu menggantikan Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkuat kuasa mulai 24 Januari ini sehingga beliau mencapai usia genap 66 tahun.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr Ali Hamsa, berkata pelantikan Mohd Hashim mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, mengikut Fasal (1) Perkara 114, Perlembagaan Persekutuan 1957.

Katanya, Mohd Hashim, 62, dilahirkan di Kota Bharu Kelantan pada 8 Oktober 1954, juga adalah bekas Ketua Setiausaha, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), sehingga bersara wajib pada 31 Ogos 2014, sebelum dilantik sebagai Timbalan Pengerusi SPR.

“Pelantikan Mohd Hashim adalah bagi mengisi jawatan Pengerusi SPR dibuat selepas Abdul Aziz tamat tempoh perkhidmatan kerana mencapai umur 66 tahun, pada 23 Januari 2016.

“Bagi pihak kerajaan Malaysia, saya ingin mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan di atas perkhidmatan Tan Sri Abdul Aziz sebagai Pengerusi SPR selama tujuh tahun dalam melaksanakan tanggungjawab dengan cemerlang, ” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Sepanjang menjadi Pengerusi SPR, Abdul Aziz, melaksanakan 18 perubahan dan pembaharuan dalam sistem pilihan raya Malaysia, penggunaan dakwat kekal untuk menanda jari pengundi; pengundian awal dua hari sebelum hari mengundi bagi polis dan tentera, tiada bantahan penamaan calon serta tidak ada lagi penarikan diri.