Solat Sunat Aidilfitri Diawalkan

34
0

SHAH ALAM: Solat sunat Aidilfitri di Selangor diawalkan pada jam 8 pagi esok bagi membolehkan umat Islam mempunyai masa yang cukup menziarahi sanak saudara berikutan hari raya pertama jatuh pada Jumaat.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kasim, dalam satu kenyataan media, berkata Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, selaku Ketua Agama Islam di negeri ini berkenan dan menitahkan agar pelaksanaan Solat Sunat Aidilfitri 1439H ditetapkan pada jam 8 pagi sekiranya 1 Syawal 1439H jatuh pada hari Jumaat.

Katanya, keputusan itu dibuat bagi memastikan sambutan hari raya tidak menjejaskan kewajipan umat Islam menunaikan solat Jumaat.

“Penyelarasan ini dibuat bagi mengelakkan kekeliruan kepada jemaah dan ketidakseragaman waktu solat antara masjid dan surau di Selangor.

“Pada kesempatan ini JAIS memohon kepada semua imam masjid dan surau agar membacakan Khutbah Khas Aidilfitri dan Khutbah Jumaat yang diterbitkan oleh jabatan ini yang boleh dimuat turun melalui portal rasmi emasjid.jais.gov.my,” katanya.

Pada masa sama, Haris turut mengingatkan masyarakat Islam di Selangor agar menyambut kehadiran Aidilfitri dengan kesederhanaan serta mengeratkan hubungan silaturahim dan saling menziarahi keluarga dan sahabat handai.

“Selain itu juga, saya mewakili seluruh warga kerja JAIS ingin mengucapkan selamat menyambut Aidilfitri dengan ucapan Taqabbalallahu Minna Wa Minkum.

“Semoga Allah menerima segala amalan kita di sepanjang bulan Ramadan. Maaf Zahir dan Batin,” katanya.