Sokongan Padu Rakyat Jamin Keutuhan – Najib

213
0
KONGSI

SIBU: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menegaskan pembentukan sebuah kerajaan negeri yang kukuh adalah bersandarkan kepada sokongan padu oleh segenap lapisan rakyat.

Justeru, beliau mengajak rakyat negeri ini, terutama komuniti Cina terus menyokong kepemimpinan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem dan Barisan Nasional (BN) Sarawak bagi memastikan kelangsungan pelbagai program pembangunan dirancang.

“Kita perlu berikan sokongan padu kepada ‘Pasukan Adenan’ bagi membentuk kerajaan negeri yang kuat, malah pelbagai usaha berjaya dilaksanakan pasukan ini untuk rakyat hanya dalam tempoh singkat.

“Dengan keutuhan kerajaan negeri yang dibentuk, maka bolehlah kita berunding dengan Kerajaan Persekutuan bagi merancang, seterusnya melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan yang tentunya menguntungkan rakyat bagi jangka panjang,” katanya.

Beliau yang diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata demikian ketika merasmikan Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baharu Cina 2016 di Dataran Sibu, di sini, malam tadi.

Selain Adenan, turut hadir ialah isterinya, Puan Sri Jamilah Anu; Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Datuk Amar Mohammad Asfia Awang Nassar.

Najib yang juga Pengerusi BN Pusat, berkata tiada yang mustahil dalam proses perundingan, begitu juga perancangan pembangunan di Sarawak kerana kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan adalah dari ‘pasukan’ yang sama.

“Kerajaan Persekutuan komited membantu ‘Pasukan Adenan’ membawa pembangunan ke setiap ceruk di negeri ini supaya nikmat kemajuan negara dilaksanakan BN dapat dikecapi rakyat di peringkat akar umbi.

“Kerajaan BN memberi keutamaan kepada pembangunan infrastruktur, khususnya sistem perhubungan bagi membawa kemajuan ke sesebuah kawasan. Kita bina Jambatan Batang Sadong (Bahagian Samarahan) sepanjang 1.5 kilometer yang akan siap tidak lama lagi sebagai nadi penghubung setempat.

“Kita juga akan berkongsi dengan kerajaan negeri membina Jambatan Batang Lupar sepanjang empat kilometer sebagai penggerak pembangunan dan pertumbuhan sosioekonomi di kawasan pesisir pantai negeri ini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pentadbirannya memberi perhatian serius terhadap keperluan pembangunan di negeri ini, terutama di kawasan pedalaman dan luar bandar.

“Lama rakyat kita di sini mengimpikan lebuh raya.

Jadi, kita mengakhiri penantian mereka melalui Projek Lebuh raya Pan Borneo yang sedang dibina. April ini, kita akan melancarkan projek itu bagi jajaran Simpang Bintangor, Julau dan Lapangan Terbang Sibu sepanjang 75 kilometer.

“Banyak lagi usaha boleh kita lakukan, termasuk proses empowerment (penurunan lebih kuasa pentadbiran). Kita lihat nanti apa yang boleh diubah suai untuk kebaikan negeri ini mengikut fakta dipersetujui apabila Sarawak merdeka dalam Malaysia,” katanya.

Lebih 10,000 pengunjung berbilang kaum dan etnik menghadiri Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baharu Cina 2016, malam tadi, sekali gus memperlihatkan keutuhan perpaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyat Bumi Kenyalang.

Sementara itu, Najib turut menyatakan sokongannya terhadap cadangan menaik taraf Sibu daripada sebuah perbandaran kepada bandar raya berikutan kepentingannya terhadap pembangunan serta pertumbuhan sosio-ekonomi setempat.

“Ia belum dikemukakan kepada Kabinet. Saya menyokong cadangan itu kerana implikasi positifnya bagi jangka panjang kepada rakyat, khususnya warga Sibu,” katanya.