SKIP 2018: Ubah Stigma Penyakit Kesihatan Mental

74
0

Oleh : Saadah Latib

BANGI : Pelancaran Sukan Institusi Psikiatri (SKIP) berlangsung sederhana namun meriah dengan kehadiran lebih 600 peserta dan penyokong.

Acara berlangsung di Stadium Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Dato’ Dr Azman Abu Bakar.

SKIP anjuran Yayasan Kesihatan Mental (MHF) pada tahun ini berlangsung selama 3 hari, sebanyak 14 kontinjen menghantar atlet.

Antaranya MHF, Hospital Bahagia Ulu Kinta, Hospital Mesra, Hospital Sentosa, Hospital Tuanku Jaafar, Hospital Tengku Ampuan Rahimah dan Hospital Teluk Intan.

Berucap pada perasmian majlis berkenaan, Azman berkata masyarakat seharusnya berhenti daripada terus memberi tanggapan negatif mengenai penyakit kesihatan mental.

“Sudah cukup rasanya masyarakat dimomokkan dengan berita negatif berkaitan isu kesihatan mental.

“Pihak media, pengguna perkhidmatan dan profesional dalam perkhidmatan perlu diberi ruang dan peluang untuk mengetengahkan tentang sisi positif isu kesihatan mental ini.

“Perlu ada anjakan dalam cara melaporkan isu-isu berkaitan kesihatan mental. Sisi positif perlu lebih banyak diketengahkan dan mitos berkaitan kesihatan mental perlu dibasmi,” katanya.

Turut hadir Pengerusi MHF, Tan Sri Hashim Meon dan Pengerusi SKIP, Tan Sri Mohd Nasir Mohd Asyraf.