SKIP 2018: ‘Kami Juara Bola Jaring’ – SKVT

37
0

BANGI: Selepas bergelut menumpaskan tiga wakil Institusi Psikiatri dari Hospital Bahagia Ulu Kinta, Hospital Terengganu dan tuan rumah Yayasan Kesihatan Mental (MHF), South Klang Valley Team (SKVT) akhirnya diumumkan sebagai juara dalam acara bola jaring 7 sebelah.

Menurut Pengurus SKVT, Nurul Ain binti Mustar berkata kejayaan yang diraih anak buahnya adalah disebabkan persefahaman serta komunikasi yang baik ditunjukkan sesama pemain.

Biarpun tidak meletakkan sebarang sasaran, SKVT tetap menunjukkan komitmen yang tinggi ketika perlawanan sekaligus dinobatkan johan keseluruhan.

“Kita tidak meletakkan sasaran bahawa kita akan menang, Objektif utama adalah hiburan dan keseronokkan pemain semasa di gelanggang.

“Kita hanya mengajarkan kepada pemain prinsip bola jaring yang betul. Kesemua pemain yang terlibat berjaya menunjukkan kesepakatan dan semangat juang yang tinggi sehingga perbezaan mata sesama mereka sangat kecil.

“Secara peribadi saya dan seluruh team teknikal SKVT berasa bangga atas pencapaian mereka,” jelasnya.

Sementara itu, bagi Siti Amirah Mansoor yang merupakan atlet baru yang mengikuti sukan SKIP2018 menjelaskan keseronokan apabila melihat rakan sepasukan ketawa dan menjerit kita menerima dan menghantar bola adalah satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Jika sebelum ini mereka hanya dilatih dengan aktiviti berkemahiran di dalam kelas, acara riadah sebegini juga mampu meningkatkan kebolehan kendiri dan berkumpulan bagi setiap pemain.

“SKIP 2018 adalah yang paling seronok. Sebelum ini saya tidak minat bersukan, namun selepas diajak oleh rakan dan guru saya merasakan suatu pengalaman yang baru dan unik.

“Secara jujur sukan SKIP memotivasikan saya secara dekat serta berkesan,” ujarnya.

Sukan SKIP2018 dijangka akan dirasmikan oleh Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, di Pusat Sukan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).