Skim Insuran Bantu Petani Hadapi Bencana Alam – Salahuddin Ayub

42
0

Oleh : Saadah Latib

PUTRAJAYA: Kementerian  Pertanian dan Industri Asas Tani akan memperkenalkan skim insuran untuk beberapa tanaman yang bertujuan memberi perlindungan kepada para petani apabila berlakunya bencana alam.

Menterinya Salahuddin Ayub berkata, perbincangan bersama Agro Bank sudah dijalankan dan beberapa isu berkaitan akan diselesaikan agar pelaksanaan skim ini dapat disegerakan.

“Supaya apabila berlakunya bencana yang tidak terduga, kita dapat memberikan  bantuan pampasan insuran dan ianya akan meringankan beban para petani.

“Perkara ini menjadi visi kementerian bagi memastikan semua golongan dalam sektor pertanian ini diberikan bantuan dan perlindungan semasa berlakunya bencana,” katanya pada sidang media semasa Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfiti Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani petang tadi.

Tambah beliau, meskipun bencana alam jarang berlaku namun sekiranya terjadi ianya memberi kesan yang besar kepada petani.

“Ini (skim insuran) di antara langkah-langkah yang saya rasa kementerian akan lakukan pada masa akan datang.

“Kita akan kenalpasti mana-mana syarikat insuran yang berminat dan ingin memberikan perkhidmatan kepada petani,” ujarnya.

Turut hadir ke majlis berkenaan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani,  Sim Tze Tzin serta Ketua Setiausaha Dato’ Mohd Sallehhuddin Hassan.