SK Setiawangsa Sekolah Angkat ASWARA

14
0
Oleh : Saadah Latib

KUALA LUMPUR: Sekolah Kebangsaan (SK) Setiawangsa dipilih menjadi sekolah angkat Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), perkara itu diumumkan oleh rektor institusi pengajian tinggi itu, baru-baru ini.

Rektor ASWARA Prof Datuk Dr Mohd Rizon Juhari, turut menawarkan 160 pelajar sekolah itu yang berkelayakan untuk menyambung pengajian di ASWARA.

“Saya turut menawarkan kepada pelajar SKS untuk meneruskan pengajian di sini selepas SPM kelak dengan syarat memperoleh 3 minimum kredit.

“Jadi saya berharap selepas mereka habis pengajian di ASWARA mereka boleh bergiat sebagai pemuzik profesional,” katanya ketika berucap di Dewan Orkestra Aswara pada Showcase Sumbangsih Orkestra Setiawangsa 2018.

Sementara itu, Mohd Rizon turut melahirkan rasa bangga melihat pelajar yang terdiri dari sekolah rendah dan menengah komited untuk mempelajari pelbagai jenis alatan muzik sehingga berjaya membuat persembahan pementasan orkestra.

“Sebagai tuan rumah, saya berbangga dapat bekerjasama dengan orkestra Setiawangsa dan saya dapati pelajar yang membuat persembahan sebentar tadi berbakat.

“Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada guru-guru mereka, yang begitu gigih berusaha menggilap bakat yang ada pada para pelajar,” ujarnya.

Showcase Sumbangsih Orkestra Setiawangsa 2018 telah berlangsung pada 3 dan 4 November lalu.

Melibatkan 250 pelajar dari sekolah SK Setiawangsa, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cochrane Perkasa, SMK Danau Kota, SMK Segambut, SMK Desa Petaling yang membawakan persembahan orkestra lagu, antaranya Luluh, Kehilangan, Jampi, Love Theme, medley P.Ramlee dan Pandang-pandang jeling-jeling.