Siti Nurhaliza Sanjung Kepimpinan Tun M

82
0

HULU KLANG: Penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza, 39, menyifatkan pelantikan Tun Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ketujuh melakar sejarah tersendiri pernah dicipta seorang pemimpin dunia.

Penyanyi Segala Perasaan berkata, belum pernah berlaku di dunia apabila bekas Perdana Menteri kembali diberi kepercayaan untuk memimpin negara, terutama selepas bersara.

“Bagi saya, ini satu sejarah apabila legenda politik negara itu dilantik buat kali kedua sebagai Perdana Menteri pada usia 93 tahun. Ia pencapaian yang luar biasa, apatah lagi beliau kembali selepas pernah bersara.

“Secara peribadi, apa yang saya pernah luahkan di Instagram sebelum ini adalah gambaran perasaan saya yang menyanjungi kepimpinan dan urus tadbir beliau,” katanya

Sama seperti mereka yang menyanjungi kepimpinan Tun Mahathir, penyanyi Comel Pipi Merah itu berkata, hatinya tidak pernah berbelah-bahagi untuk menyatakan sokongannya secara terbuka kepada pemimpin itu.

Selain Tun Mahathir, Siti turut mengagumi beberapa pemimpin lain yang disifatkan mempunyai keperibadian tersendiri termasuk Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat.

Mengakui sedih dengan kejatuhan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), baru-baru ini, Siti berkata, segala budi dan jasa pemimpin terdahulu akan sentiasa tersemat di lubuk hatinya.

“Saya sendiri sayangkan BN, malah ia sentiasa di hati kerana banyak sumbangan yang dilakukan pemimpin parti itu untuk pembangunan negara. Jadikan apa yang berlaku ini sebagai pengajaran untuk kembali bangkit berjuang,” katanya.

Ibu kepada Siti Aafiyah Khalid itu ditemui pada majlis pelancaran butik Creacion & SimplySiti by Siti Nurhaliza cawangan kelapan di Melawati Mall, di sini, petang tadi. Ia adalah kemunculan pertama penyanyi itu selepas selesai berpantang.