Siapa Tak Puas Hati Boleh Mohon Tafsiran Mahkamah – Apandi Ali

159
0
KONGSI

KUALA LUMPUR: Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali menepis tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ingin merujuk kertas siasatannya kepada panel bagi mendapatkan semakan siasatan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Menerusi teks pesanan dari luar negara, Apandi berkata mana-mana badan yang dibentuk untuk mempersoalkan keputusan peguam negara bertentangan dengan Artikel 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Artikel 145 memberikan peguam negara, yang juga pendakwa raya, budi bicara sepenuhnya untuk memulakan, meneruskan atau menghentikan mana-mana prosiding jenayah terhadap individu tertuduh.

“Ini pendirian saya.

“Sesiapa yang tidak bersetuju, boleh mendapatkan tafsiran keputusan saya di Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Awal hari ini, agensi anti rasuah itu berkata ia mahu memohon semakan terhadap keputusan Apandi bagi menutup siasatan dana RM2.6 bilion dalam akaun bank peribadi Najib.

Agensi itu berkata pengurusan tertingginya sudah memutuskan ia akan membentangkan kertas siasatan kes itu kepada panel semakan operasi sementara satu lagi panel khas ditubuhkan.

Menurut SPRM, tindakan membawa kes ini kepada Panel Penilaian Operasi (PPO) untuk mendapatkan pandangan berhubung tindakan kes yang diputuskan pendakwa raya untuk tidak dituduh.

PPO dianggotai Tan Sri Dr Hamid Bugo sebagai pengerusi, Tan Sri Jawhar Hassan, Datuk Zamani Abdul Ghani, Datuk Azizah Arshad, Datuk Wan Abdul Wahab Abdullah, Profesor Dr Normah Omar, Dr Sundramoorthy M. Pathmanathan dan Tuan Lim Chee Wee.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said dalam satu kenyataan hari ini ketika memberi respons terhadap tindakan SPRM berkata tiada sesiapa boleh mempertikaikan keputusan peguam negara.

Azalina berkata mengikut Perkara 145 (3) peguam negara mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi kesalahan, selain prosiding di hadapan Mahkamah Syariah, Mahkamah Anak Negeri atau Mahkamah Tentera.