#ShutdownJalanDuta Tetap Diteruskan – Shazni Munir

93
0
KONGSI

PETALING JAYA: Protes bagi membantah kenaikan kos sara hidup pada malam Tahun Baru 2016 `#ShutdownJalanDuta’ tetap akan diadakan meskipun mendapat amaran daripada pihak polis.

Pengerusi Penganjur, Jawatankuasa Bertindak #ShutdownJalanDuta, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, setelah berbincang panjang, pihaknya telah bersetuju untuk tetap meneruskan protes sebagaimana yang telah dirancang.

Katanya, amaran yang diberi oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengenai risiko yang akan dikenakan jika tetap menganjurkannya telah diambil maklum oleh pihak jawatankuasa bertindak.

“Walaupun pihak jawatankuasa telah berusaha sehabis baik untuk mematuhi peruntukan bawah Akta Perhimpunan Aman dan akhirnya tetap juga mahu diambil tindakan oleh pihak polis, hal ini pada hakikatnya jauh lebih besar daripada itu.

“Protes #ShutdownJalanDuta ialah cerita periuk nasi rakyat dan survival hidup yang perlu ditempuh sehari-hari. Simbol perlawanan rakyat untuk menuntut kembali hak keselesaan hidup yang telah dirampas oleh kerajaan Barisan Nasional.

“Protes langsung terhadap kecurangan tadbir urus negara hingga rakyat sekali lagi akan menanggung kenaikan kos sara hidup akibat kenaikan 8 tol bermula tahun hadapan,” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Shazni menegaskan, Khalid sepatutnya perlu menyedari bahawa kenaikan kos sara hidup pada tahun hadapan akan menimpa seluruh rakyat yang susah, termasuklah anggota-anggota polis di bawah jagaan beliau.

Katanya, rakyat yang mengundi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen Pekan juga akan turut mengalami kesan besar jika kenaikan itu berlaku.

“Rakyat susah di kampung-kampung, kawan-kawan miskin bandar yang bergelut meneruskan hidup, itu semua menjadi sebab besar mengapa protes ini perlu juga berlangsung,” tegasnya.