Shafie Apdal Kekal Ketua Menteri Sabah

5
0

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak kes pemula difailkan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman bagi mendapat pengisytiharan bahawa beliau adalah Ketua Menteri yang sah.

Sehubungan itu, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kekal sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah.

Dalam penghakimannya, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Yew Jen Kie, berkata isu sama ada pelantikan Mohd Shafie tidak berperlembagaan dan tidak sah adalah negatif.

Beliau berkata, tindakan enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) yang menyokong pakatan Parti Warisan Sabah (WARISAN), DAP dan PKR sudah cukup membuktikan Musa hilang penguasaan terhadap majoriti Dewan Undangan Negeri (DUN).

Jen Kie merujuk kes krisis bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin sebagai perbandingan bagi menunjukkan Musa dianggap perlu mengosongkan jawatan apabila hilang majoriti.

“Dalam kes di Perak, ia jelas bahawa apabila Kabinet termasuk Ketua Menteri dianggap mengosongkan pejabat masing-masing, ia memberi laluan kepada defendan pertama (Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin) untuk melantik defendan kedua (Mohd Shafie) bagi menggantikan plaintif (Musa) mengikut Artikel 6 (3) Perlembagaan Sabah,” katanya.

Mahkamah turut memutuskan tidak timbul isu Juhar bertindak ultra vires dengan menyingkirkan Musa kerana Musa dianggap sudah mengosongkan jawatan apabila menolak meletakkan jawatan selepas hilang majoriti.

Jen Kie turut memutuskan Juhar boleh bergantung kepada enam perakuan bersumpah dibuat ADUN BN yang menyokong Mohd Shafie bagi membuat keputusan bahawa Musa hilang penguasaan majoriti DUN.

Mahkamah turut menolak saman pemula difailkan ADUN Tamparuli, Datuk Jahid Jahim untuk mencabar pelantikan Kabinet negeri di bawah Mohd Shafie.

Jen Kie kemudian memerintahkan Musa dan Jahid masing-masing membayar kos RM30,000 dan RM15,000 kepada Mohd Shafie dan Juhar.

Sementara itu, ketika ditemui di luar mahkamah, peguam Datuk Douglas Lind yang mewakili Mohd Shafie berkata, pihaknya sudah menjangka akan menang dalam kes itu kerana semua proses pelantikan Mohd Shafie mengikut Perlembagaan negeri dan undang-undang.

“Satu yang penting ialah Musa hilang majoriti pada 11 Mei, jadi dengan kurang majoriti dia harus meletak jawatan mengikut Artikel 7 (1) Perlembagaan Sabah.

“Jadi, biarpun dia tidak meletak jawatan tetapi menurut kes Nizar dianggap dia sudah mengosongkan jawatannya, jadi dengan itu TYT (Juhar) mesti menjalankan tugas Perlembagaan untuk melantik pengganti Musa dan orang yang dilantik mesti ada majoriti di DUN.

“Yang ada majoriti pada masa itu ialah Mohd Shafie, jadi dia dilantik mengikut undang-undang dan Perlembagaan, tiada masalah. Tun (Juhar) mengikut undang-undang dan Perlembagaan,” katanya.

Dalam pada itu, peguam Musa, Tengku Fuad Ahmad, berkata pihaknya akan menasihatkan Musa untuk memfailkan rayuan berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi hari ini.

“Kita menghormati keputusan mahkamah… hakim memberikan penghakiman yang panjang kira-kira sejam. Sudah tentu kita tidak bersetuju dengan kebanyakan penghakimannya tetapi ia adalah sah dan kita menghormatinya. Namun, kita juga ada hak untuk merayu,” katanya.

Mohd Shafie bersama jemaah Kabinet negeri termasuk Timbalan Ketua Menteri, Datuk Madius Tangau, Datuk Jaujan Sambakong dan Datuk Christina Liew turut hadir mengikuti pendengaran keputusan itu.

Pada Jun lalu, Musa memfailkan saman dengan disokong afidavit terhadap Juhar dan Mohd Shafie berkaitan isu pelantikan Ketua Menteri.

Saman itu bagi mendapat pengisytiharan bahawa Musa kekal Ketua Menteri yang sah mengikut undang-undang, selain mendakwa pengakuan sumpah Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri oleh Yang di-Pertua Negeri adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah. – BH