Shafee Minta Gopal Tarik Diri

17
0

KUALA LUMPUR: Peguam terkemuka, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang berdepan empat pertuduhan akan mengemukakan permohonan rasmi untuk mengketepikan bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai barisan pendakwaan terhadapnya.

Perkara itu dimaklumkan oleh Muhammad Shafee kepada Hakim Azura Alwi ketika Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur memberikan peluang kepadanya untuk mengatakan sesuatu.

“Saya akan memfailkan permohonan secara rasmi agar Gopal menarik diri,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Shafee mendakwa, hubungannya dengan Gopal tidak baik sejak dari dahulu lagi.

Menurut Muhammad Shafee, Gopal pernah dilantik sebagai peguam kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap dakwaan jumlah RM9.5 juta itu dibayar kepada Shafee untuk mendakwa bakal calon perdana menteri itu dalam kes liwat II.

Shafee yang berada di dalam kandang pesalah berkata, kes berkenaan sedang berjalan di Mahkamah Persekutuan.

“Ia membabitkan kes dan jumlah sama,” katanya.

Pada prosiding itu, Gopal berkata, beliau menunggu permohonan rasmi Shafee.Sementara itu, peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Shafee berkata kepada pemberita, permohonan itu akan difailkan sebelum sebutan semula kes, Selasa depan.

Selepas beberapa jam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), peguam terkemuka, Tan Sri Shafee Abdullah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan penggubahan wang haram membabitkan RM9.5 juta.