Shafee Abdullah Dijangka Didakwa Pagi Ini

10
0

PUTRAJAYA: Peguam kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini terhadap empat pertuduhan pengubahan wang haram.

Menurut sumber, beliau ditahan di ibu negara Kuala Lumpur, awal pagi ini.

“Beliau didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA),” kata sumber berkenaan.

Pada 7 September lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pasukan peguamnya sudah menyerahkan afidavit yang ditandatangani oleh pegawai Jabatan Peguam Negara mengesahkan dakwaan pembayaran dibuat kepada Muhammad Shafee.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabatnya, Anwar berkata, pembayaran sebanyak RM9.5 juta itu dibuat oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak antara September 2013 sehingga Februari 2014.

“Umum mengetahui bahawa Muhammad Shafee bertindak sebagai pendakwa raya khas dalam rayuan terhadap pembebasan saya bermula Julai 2013 sehingga selesai di Mahkamah Persekutuan pada Februari 2015.

“Saya mengulangi bahawa Muhammad Shafee tidak sepatutnya dibenarkan bertindak sebagai pendakwa raya dalam kes rayuan itu. Pelantikan seorang pendakwa raya bukanlah amalan biasa bagi Peguam Negara dan lebih ganjil lagi yang dilantik itu seorang kenalan rapat Najib,” katanya.

Sehari kemudian, Muhammad Shafee menafikan menerima bayaran RM9.5 juta daripada akaun bank peribadi Najib dan menjelaskan beliau sudah menafikan tuduhan berkenaan seperti direkodkan dalam afidavit pada 3 Ogos 2017 dalam kes saman Anwar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Mereka yang disabit kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 berdepan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan boleh didenda minimum lima kali ganda hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana yang lebih tinggi.