Sesat Selepas Pasang Bendera Parti Politik    

48
0
KONGSI

Oleh : Wartawan MySuara

GOMBAK: Dua puluh lelaki yang mendaki bukit Batu Caves untuk meletakkan bendera parti politik di puncak bukit berkenaan tidak menemui jalan turun ke kaki bukit di Lorong Cempaka Kampung Gombak Indah, Gombak, malam tadi.

Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, mereka yang berusia antara 20 hingga 70 tahun itu menyedari mereka sesat apabila cuba turun daripada bukit berkenaan petang semalam, sebelum hari gelap.

“Mereka dikatakan mendaki bukit itu 9.30 pagi untuk memasang bendera sebuah parti, namun tidak dapat turun kerana keadaan gelap dan lampu kehabisan bateri.

“Bagaimanapun, seorang daripada mereka berjaya menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tambah beliau lagi,  semua mangsa berjaya dibawa oleh sepasukan anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang, BBP Gombak, BBP Serdang dan BBP Kepong 12.30 tengah malam tadi sebaik tiba di lokasi kira-kira 10 malam.

“Semua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor berkata, semua mangsa tidak cedera, namun dalam keadaan lemah ketika dibawa turun.

Menurutnya, mangsa diberikan makanan ringan dan air selain melakukan pemeriksaan kesihatan sebaik tiba di pusat operasi di kaki bukit berkenaan, katanya ketika dihubungi.