RM416.6 Bilion Hilang Jika Mansuh GST, Tol, PTPTN & Duti

35
0

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menanggung kehilangan hasil negara berjumlah RM416.6 bilion jika Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), tol, pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan duti eksais dimansuhkan, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Beliau berkata, pemansuhan GST akan menyebabkan negara kehilangan RM45 bilion manakala tol (RM338 bilion), PTPTN (RM3.9 bilion) dan duti eksais (RM2.4 bilion).

Katanya, pemansuhan itu juga akan menjadikan hutang negara semakin meningkat.

“Kita akan kehilangan RM45 bilion jika mansuhkan GST. Ia satu angka yang besar dan kami tidak memperkenalkannya begitu sahaja, (tetapi) kami telah membuat kajian selama bertahun-tahun.

“Sebanyak 160 buah negara di dunia telah melaksanakan GST. Pelbagai peratusan dikenakan, tetapi di Malaysia, kita mengambil enam peratus — kadar yang lebih munasabah, tidak begitu membebankan ekonomi dan rakyat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd Irwan Serigar berkata, lebih 500 barangan asas seperti beras, gula dan sayur-sayuran tidak dikenakan GST dan GST di Malaysia berbeza dengan GST di negara lain.

Katanya, Arab Saudi akan turut memperkenalkan GST berikutan negara itu terlalu bergantung kepada minyak dan apabila harga minyak jatuh, hasil kerajaan jadi tidak menentu.

Sehubungan itu, katanya, Arab Saudi sedang berbincang dengan pakar-pakar dari Malaysia untuk melaksanakan GST di negara tersebut.

Beliau berkata, kerajaan tidak boleh melaksanakan program negara jika tidak mengutip hasil, dan apabila ekonomi berkembang, hasil meningkat dan negara dapat menanggung perbelanjaan.

Mohd Irwan Serigar turut menjelaskan terdapat 19 tol di Lembah Klang manakala 12 tol di luar Lembah Klang, dan jika dimansuhkannya secara berperingkat, kerajaan perlu menanggung sebanyak RM338 bilion.

“Jika dicampur jumlah tersebut dengan hutang negara sebanyak RM686 bilion, ia akan meningkat kepada RM1 trilion, menjadikan hutang negara naik kepada 78 peratus,” katanya sambil menambah hutang negara tidak boleh melebihi 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), yang kini pada paras kira-kira 50 peratus.

Mengenai PTPTN, Mohd Irwan Serigar berkata, kerajaan turut memberi pelepasan dengan tidak perlu membayar balik pinjaman tersebut jika skor pelajar itu bagus dan diskaun 10 hingga 20 peratus jika konsisten dalam membuat pembayaran balik.

Katanya, ekonomi negara berada di landasan yang kukuh dari segi pengurusan kewangan dan telah mencatatkan pertumbuhan 5.9 peratus pada tahun lepas.

“Kita menjangka ekonomi berkembang antara lima dan 5.5 peratus pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata kadar inflasi terkawal dan menjangka 2-3 peratus pada tahun ini manakala kadar pengangguran berada pada tahap yang rendah iaitu 3.4 peratus, selain ringgit semakin kukuh pada RM3.90 berbanding dolar AS.

“Kita akan kekalkan momentum ini,” katanya.