Malaysia Diiktiraf Negara Membangun Paling Pesat

11
0
KONGSI

KUALA LUMPUR: Malaysia diiktiraf sebuah negara membangun yang paling pesat, selain menjadi pemain ekonomi paling kompetitif dalam kalangan negara membangun di Asia berdasarkan fakta terkandung dalam Laporan Kompetitif Global.

Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Seri Hasan Malek, berkata pengiktirafan itu menjadikan matlamat menempatkan Malaysia sebagai 20 negara teratas dalam pembangunan ekonomi, kemajuan sosial dan inovasi menjelang tahun 2050 adalah realistik untuk dicapai.

“Ia boleh dicapai jika momentum ini dikekalkan dan ditingkatkan lagi pada masa depan.

“Sasaran kerajaan untuk meletakkan Malaysia dalam dalam negara maju menjelang 2050 sebenarnya realistik dan berada di landasan yang tepat,” katanya

Namun, Hasan berkata, di sebalik kemajuan negara, paradigma yang perlu diberi perhatian oleh masyarakat adalah apabila urbanisasi didorong oleh komersialisasi ekonomi berkembang pesat.

“Pola kehidupan konvensional akan berubah, hubungan interpersonal yang berteraskan nilai kesalingan kolektif akan dicabar oleh budaya baharu yang didasari semangat individualistik yang ekstrem.

“Apakah kita bersedia berkompromi dengan kebudayaan moden dan sanggup pula menyerahkan jati diri kita yang berpaksikan agama dan nilai ketimuran terhadap ekonomi,” katanya ketika membahas usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, hari ini.

Beliau bagaimanapun yakin dan percaya kerajaan menyedarinya dan sentiasa mengambil langkah serius untuk menguruskan perubahan berkenaan.

“Ini termasuk pemeliharaan topografi negara terus terpelihara, persekitaran hijau dan iklim sederhana akan terus dapat dinikmati pada masa depan seiring pembangunan konkrit dan batu-bata yang bakal memenuhi landskap prinsipal negara,” katanya.