Semangat BN Terkubur Selepas ‘Persandingan’ UMNO, PAS – Nazri Aziz

48
0

KUALA LUMPUR: Semangat Barisan Nasional (BN) yang berteraskan kepelbagaian kaum, sudah terkubur selepas ‘persandingan’ antara UMNO dan PAS semalam.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata kerjasama UMNO dan PAS bererti kedua-dua parti itu akan memberi keutamaan kepada hak orang Melayu dan Islam, serta meletakkan kepentingan pelbagai kaum pada kedudukan kedua.

Katanya, ‘perkahwinan’ UMNO dan PAS yang disifatkannya sebagai ‘Malay-centric’ itu juga mungkin menjadi penentu kepada pembubaran BN yang akan diusulkan MCA dan MIC dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN, Jumaat ini.

“Walaupun MCA tak bentangkan resolusi bubarkan BN, semangat asal BN berteraskan pelbagai kaum yang dibina sejak 1969 sudah berakhir dengan kerjasama UMNO dan PAS.

“Kalau satu parti tak setuju BN dibubarkan, ia tidak akan berlaku. Dulu, saya pertahankan (supaya BN tidak dibubar) dengan menyatakan UMNO tidak bersetuju.

“Tapi dengan adanya kerjasama UMNO-PAS, saya tak tahulah… Mungkin dipersetujui, sebab semangat BN sudah hilang di saat PAS dan UMNO bekerjasama,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mohamed Nazri berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau bersetuju jika MCA dan MIC bertegas untuk BN dibubarkan pada mesyuarat Dewan Tertinggi BN, Jumaat ini.

Ditanya sama ada BN akan lebih mengutamakan kepentingan kaum dan agama tertentu jika gabungan itu kekal bekerjasama dengan PAS, Mohamed Nazri berkata beliau tidak tahu mengenai masa depan parti itu.

“Yang pasti, UMNO dan PAS akan mengutamakan orang Melayu dan agama Islam,” katanya.

Beliau yang berharap BN tidak dibubarkan, bagaimanapun menyokong 100 peratus kerjasama UMNO dan PAS itu kerana ia adalah keputusan pimpinan parti dan beliau adalah seorang yang taat dan setia pada parti.

“Jika dulu saya letakkan kepelbagaian kaum sebagai keutamaan nombor satu, sekarang saya percaya untuk kelangsungan politik, saya perlu utamakan orang Melayu dahulu, kemudian kepelbagaian kaum,” katanya.