Sekat Blog, Laman Sosial Tidak Akan Mendiamkan Rakyat – Rafidah

178
0
KONGSI

KUALA LUMPUR: Tindakan pemerintah yang agresif menyekat beberapa laman sosial dan blog yang mengkritik kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan anggota kabinetnya tidak akan membuatkan rakyat berdiam diri.

Sebaliknya, bagi bekas menteri kabinet, Tan Sri Rafidah Aziz berkata, rakyat Malaysia akan terus bersuara dan mempersoalkan setiap tindakan pemerintah.

“Rakyat yang prihatin kepada negara ini apabila melihat perkara yang tidak bagus buat Malaysia, mereka akan bersuara sama seperti saya bersuara.

“Jangan mengabaikan apa pandangan rakyat di media sosial dan, ia adalah suatu tindakan yang naif apabila dengan menyekat blog dan campur tangan di media sosial akan menyebabkan rakyat diam dari bersuara.

“Sebaliknya, sangat jelas ia adalah sebaliknya. Tidak ada sesiapa yang boleh menghalang mana-mana pihak untuk bersuara mengenai apa yang berlaku,” katanya melalui Facebook.

Sebelum ini, pemerintah telah bertindak menyekat laluan ke blog yang memaparkan surat amaran Bank Negara kepada Lembaga Tabung Haji.

Mengulas lanjut, bekas Ketua Wanita UMNO ini menggesa pengguna media sosial agar menggunakan ruang demokrasi yang telah disediakan secara matang.

“Sosial media merupakan satu saluran yang terbaik untuk menyalurkan pandangan kita. Tetapi kita tidak seharusnya menyalahgunakan untuk tujuan menyakiti orang lain,” ujarnya.