Sejarah Buktikan Anak Melayu Johor Pantang Berundur – Muhyiddin

310
0
KONGSI

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini memetik kebangkitan orang Melayu menentang Malayan Union pada tahun 1946, yang turut membawa kepada penubuhan Umno, dan mengisytiharkan bahawa anak Melayu Johor pantang berundur.

Seorang anak Melayu Johor, Muhyiddin menggunakan contoh tersebut ketika meminta maklum balas mengenai apakah mesej yang wajar beliau sampaikan di perhimpunan agung (AGM) Umno minggu depan, seandainya berpeluang untuk berucap.

Melalui Facebook, Muhyiddin menyiarkan gambar Harold McMichael yang berlatar belakangkan anak-anak Melayu Johor yang menentang Malayan Union, ketika dia dipanggil mengadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar, di Johor Bahru pada tahun 1946.

“Dapat dilihat di dalam gambar ini anak Melayu Johor yang menentang penubuhan Malayan Union kerana percaya bahawa masa depan negara ini harus bebas daripada kongkongan dan campurtangan asing.

“Sejarah membuktikan anak Johor pantang berundur mempertahankan kedaulatan tanah tumpah darah mereka.

“Sebagaimana yang tertulis dalam sejarah, Umno ditubuhkan pada 11 Mei 1946 di Istana Besar Johor Baharu. Saya telah menjadi ahli Umno sejak 45 tahun yang lalu,” katanya.

Muhyiddin berkata, beliau menerima banyak permintaan daripada akar umbi supaya menyampaikan sedikit amanat sempena perhimpunan agung Umno 2015 yang menurutnya, merupakan satu perhimpunan penting bagi Umno.

Ini walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak, yang juga presiden Umno, mengumumkan minggu lalu bahawa Muhyiddin tidak akan merasmikan AGM Wanita, Pemuda dan Puteri.

Semalam, Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor dilaporkan berkata keputusan sama ada Muhyiddin akan berucap di sesi penggulungan akan diputuskan dalam Majlis Tertinggi khas Umno pada 9 Disember ini.

“Seandainya saya berpeluang untuk berucap, apakah perkara-perkara penting yang anda fikirkan wajar saya sampaikan kepada para perwakilan dan pemimpin Umno?” tanya Muhyiddin di Facebook.

Antara jawapan daripada warga maya adalah mereka menyeru Najib meletak jawatan dan mengadu mengenai kos sara hidup yang meningkat, manakala yang lain memberi kata-kata perangsang kepada Muhyiddin.

Julai lalu, Muhyiddin digugurkan daripada kabinet bersama dengan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal, ekoran pendirian kritikal mereka terhadap pengendalian isu 1MDB oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak. – MK