“Saya Tidak Tergamak Khianati UMNO” – Mukhriz

960
0
KONGSI

Oleh: Khizairi Khizan

PUCHONG: Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyatakan bahawa beliau masih sayangkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dengan dibuktikan beliau tidak mengambil tindakan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) walaupun mempunyai kuasa ketika itu.

Ini, katanya, dinyatakan dengan jelas dalam perlembagaan negeri yang menyatakan bahawa seseorang menteri besar masih boleh membubarkan DUN dalam apa jua keadaan.

Jelas beliau, sekiranya beliau bertindak membubarkan DUN pada masa itu, kemungkinan besar UMNO dan BN akan kalah dalam pilihan raya negeri.

“Pada saat-saat terakhir bila tahu tidak lagi menikmati kuasa majoriti, saya masih berhak bubar DUN.

“Apa agaknya berlaku kalau saya bubar? Dalam tempoh 60 hari, satu pilihanraya (akan diadakan).

“Saya ingat kita tahu kesudahannya, Tentunya kerajaan akan beralih sekali lagi dari BN ke pembangkang. Tapi saya tak melakukannya,” katanya ketika berucap pada sesi dialog yang diadakan oleh Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM), hari ini.

Mukhriz menjelaskan beliau tidak  tergamak melakukan sedemikian kerana tidak mahu mengkhianati parti berkenaan.

Pada sesi dialog yang dihadiri kira-kira 50 orang itu, Mukhriz turut menjelaskan mengapa beliau menyertai Delkarasi Rakyat yang ditandatanganinya kira-kira dua minggu lalu.

Katanya, beliau berbuat demikian bukan mahu menyertai pembangkang, namun sebagai seorang rakyat beliau juga berhak mahu melihat negara ini dalam keadaan stabil.