Saya Tidak Tahu Wang Tunai Di Pejabat Najib – Zahid

19
0

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mendakwa tidak dimaklumkan mengenai simpanan tunai berjumlah jutaan ringgit di pejabat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Malah, beliau juga tidak mengetahui sama ada wang berkenaan adalah milik UMNO atau sebaliknya.

“Saya tidak tahu, saya tidak pernah dimaklumkan mengenai perkara itu,” katanya ketika ditemui pemberita di Lobi Parlimen, hari ini.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid yang juga Ketua Pembangkang, menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat dakwaan kecurian wang tunai berjumlah RM3.5 juta oleh 17 pegawai keselamatan di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Elok kita serahkan kepada SPRM dan polis untuk membuat siasatan.

“Tidak seharusnya jika menemui wang itu, mereka membuat keputusan memfaraidkan (mengagihkan) sesama sendiri, eloklah diserahkan kepada pihak berkuasa,” katanya.

Media semalam melaporkan 17 anggota keselamatan didakwa mengambil wang itu daripada pejabat Najib selepas mengetahui Barisan Nasional (BN) tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Wang terbabit dikatakan adalah sebahagian daripada dana pilihan raya UMNO.

Anggota keselamatan terbabit dipercayai sebahagian daripada pasukan bertugas pada malam PRU-14 lalu, untuk menyediakan kawalan keselamatan di jabatan berkenaan.

Wang terbabit dilaporkan tidak disimpan dalam peti keselamatan.

SPRM mendapatkan perintah tahanan reman lima hari terhadap suspek berusia antara 31 hingga 51 tahun di Mahkamah Majistret Putrajaya bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Difahamkan, SPRM merampas wang tunai berjumlah RM840,700 daripada suspek, bersama sembilan motosikal bernilai RM90,000.