Saya Tak Terburu-buru Jadi PM – Anwar

64
0

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji akan memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menerajui negara.

Ketua umum PKR itu berkata, beliau tidak terburu-buru menjadi perdana menteri, sebaliknya mahu berehat seketika dan meluangkan masa bersama keluarganya.

“Saya telah memberi jaminan saya kepada Mahathir sebagai perdana menteri dan Azizah sebagai timbalan perdana menteri,” katanya pada sidang media di kediamannya di Bukit Segambut, hari ini.

Anwar mengucapkan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong kerana memberi pengampunan penuh dan pembebasan serta-merta kepadanya.

Beliau turut berterima kasih kepada Dr Mahathir yang membantu beliau dibebaskan dan diberikan pengampunan penuh oleh Sultan Muhammad V.

“Saya telah dibersihkan daripada semua rekod kesalahan sebelum ini. Tidak sia-sia perjuangan saya selama 20 tahun menanggung derita dan sengsara,” katanya.

Anwar dibebaskan pagi tadi dari Hospital Rehabilitasi Cheras, selepas menjalani hukuman penjara selama 1,557 hari atas sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya.

Beliau kemudiannya menghadap Agong di Istana Negara.