“Saya Dah Dedah Identiti Sebenar Kepada Jakim” – Sajat

35
0
KONGSI

KUALA LUMPUR: Usahawan kosmetik, Nur Sajat Kamaruzzaman mendedahkan beliau telah memaklumkan mengenai identiti sebenar dirinya kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Pendedahan ini dibuat pada pertemuan pertama beliau dan kedua ibu bapanya dengan Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Sosial, Bahagian Pembangunan Keluarga Sosial dan Komuniti Jakim, Dr Mohd Izwan Md Yusof di Wisma Nur Sajat di Shah Alam, 16 Januari lalu.

“Saya dah dedahkan mengenai identiti sebenar saya kepada Dr Izwan dalam pertemuan terdahulu.

“Ibu bapa saya juga telah memberi keterangan mengenai identiti saya kepada dia,” katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai ‘identiti’ yang didakwa telah didedahkannya kepada Jakim itu.

Pada Rabu, mStar Online melaporkan Mohd Izwan mendakwa telah ‘dihalang’ oleh orang ketiga di pihak Sajat untuk meneruskan prosedur bagi mengesahkan identiti sebenar usahawan kosmetik itu.

Bagaimanapun, Mohd Izwan yang juga pakar dalam menangani lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) Jakim berkata, pihaknya tetap komited meneruskan proses untuk mendapatkan pengesahan identiti sebenar usahawan itu bagi menjawab persoalan masyarakat.

Ditanya mengenai dakwaan membabitkan pihak ketiga itu, Sajat hanya menjawab ringkas: “No komen.”

Namun Sajat mengakui terdapat persetujuan antara beliau dan Jakim dalam menjalinkan kerjasama.

Beliau berkata, kerjasama yang dimaksudkan adalah lebih kepada pembabitannya dalam mana-mana program pembangunan perniagaan dan motivasi yang dikelolakan oleh jabatan itu. – MSTAR

Baca lebih lanjut di http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2018/02/15/sajat-dedah-identiti-jakim/#akToKZwL3xWQsSu4.99