“Saya Bukan Penulis Buku 50 Dalil” – Khairuddin

162
0

KUALA LUMPUR: Bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Khairuddin Abu Hassan berkata, beliau ‎tidak pernah terbabit dalam pembikinan buku ’50 Dalil mengapa Bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh menjadi Perdana Menteri’.

Ujarnya, cakap-cakap yang mengatakan bahawa beliau pernah terlibat dalam perkara  itu hanya sekadar tuduhan dan bersifat persepsi semata-mata.

“Bukan saya penulis dan penerbit buku itu.

“Tengok siapa penerbit dan penulis buku itu, sehingga ke hari ini Datuk Seri Anwar Ibrahim tak pernah ambil apa-apa tindakan ke atas diri saya, itu hanya persepsi,”  katanya.

Beliau berkata demikian dalam Forum Deklarasi: Mana Pergi Rakyat di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) malam tadi.

Sementara itu, Khairuddin berkata, beliau akan menjadi orang pertama yang akan menyokong sekiranya ada gerakan yang menggerakkan pembebasan Anwar.

“Saya akui kalau ada perjuangan nak keluarkan Anwar di Penjara Sungai Buloh saya orang pertama yang akan sokong perjuangan ini,” tegasnya kepada 300 orang hadirin yang hadir.