“Saya Bangkitkan Soal Memerangi Rasuah Dengan Najib” – Obama

89
0

KUALA LUMPUR: Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama berkata beliau ada membangkitkan mengenai kepentingan ketelusan, akauntabiliti dan membanteras rasuah dengan Datuk Seri Najib Razak, walaupun perdana menteri terlibat dengan kontroversi 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan derma AS$700 juta.

Bagaimanapun, Obama enggan mengulas lanjut mengenai siasatan terhadap Najib, sambil menegaskan tidak berniat untuk mencampuri siasatan yang sedang berjalan itu biarpun sudah pulang ke AS.

“Saya tidak mahu mengulas mengenai siasatan berlaku walaupun pulang ke Amerika Syarikat, saya tidak akan mengulas apa-apa mengenai siasatan atau prosiding undang-undang yang sedang berlaku di negara asing ketika saya menjadi tetamu.

“Tetapi saya ada membangkitkan kepada perdana menteri, sama seperti saya berjumpa dengan ramai pemimpin di sini di Asia Tenggara, Afrika, Amerika Latin, dan mana-mana saya pergi, mengenai kepentingan ketelusan dan kebertanggungjawaban, kepentingan membanteras rasuah, di mana kesemuanya adalah halangan perkembangan, semua perkara itu, menyumbang kepada kemiskinan dan membantutkan pertumbuhan, “katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Obama berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai hasil perbincangan beliau dengan Najib mengenai “skandal dana pelaburan” itu, memandangkan beliau sudah berjanji semasa majlis dialog 2 hari lepas beliau akan membangkitkan isu ketelusan dengan perdana menteri.

Obama berkata, mana-mana negara yang berjaya menyelesaikan masalah rasuah akan segera memperbaiki kedudukan mereka, walaupun kekurangan sumber atau tidak mempunyai perairan.

Beliau juga memberi amaran mana-mana negara yang gagal menangani rasuah akan “gagal” tidak kira jika mereka memiliki sumber yang banyak.

“Saya juga menekankan kepada Najib mengenai kepentingan masyarakat sivil dan kebebasan media di negara-negara yang berkembang maju,” kata Obama.

Beliau berkata, walaupun AS tidak menjangkan semua negara akan mengikut dasarnya, namun terdapat “beberapa prinsip asas” yang penting bagi mereka untuk ditegakkan “sebagai kawan dan rakan kongsi kami sudah membincangkan perkara itu”.

April 2014, Obama menjadi Presiden AS pertama melawat Malaysia dalam tempoh hampir 50 tahun.

Tetapi sejak lawatan itu, dakwaan salah urus kewangan yang melibatkan 1MDB, membawa kepada desakan supaya Najib meletakkan jawatan, dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi pemimpin utama yang menyuarakan perkara itu.

Najib juga menafikan dakwaan The Wall Street Journal (WSJ) yang melaporkan RM2.6 bilion dikaitkan dengan 1MDB, mengatakan wang itu adalah derma daripada seorang penderma Timur Tengah untuk membantu partinya memenangi Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13).

Perdana menteri menafikan dakwaan itu pada mulanya, sambil menegaskan beliau tidak pernah mengambil wang rakyat untuk kepentingan peribadi tetapi kemudian berkata, wang itu adalah untuk usaha Malaysia dalam memerangi Kumpulan Militan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis). – INSIDER