Sasar 40 Kerusi Petanda Awal Kerjasama PAS-BN – Mahfuz

21
0
KONGSI

KUALA LUMPUR: Tindakan PAS menyasarkan 40 kerusi untuk dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dianggap sebagai petanda awal kerjasama parti itu dengan BN, kata Anggota Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.

Malah Mahfuz menyifatkan kenyataan terbaru presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu sebagai penipuan kepada anggota parti selepas mengatakan PAS akan menjadi kuasa penentu (king maker) dalam PRU14.

“Kononnya PAS nak jadi penentu apabila tiada parti yang boleh membentuk kerajaan selepas PRU14.

Terdahulu, Abdul Hadi menjangkakan tiada satu pun parti yang dapat membentuk kerajaan selepas PRU14 dan sekiranya PAS menang 40 kerusi parti itu akan menjadi tempat bergantung parti lain yang mahu menubuhkan kerajaan.

Mahfuz yang juga bekas naib presiden PAS berkata, meskipun PAS menentang BN pada PRU14 namun kenyataan Abdul Hadi memberi gambaran kedua-duanya akan bekerjasama selepas pilihan raya.

“PAS kata tidak akan bersama BN, jauh sekali untuk bersama HARAPAN.

“Ini bermakna, mereka memberi gambaran selepas PRU14 kalau tiada parti dapat bentuk kerajaan, PAS akan jadi penentu,” kata Mahfuz yang mengumumkan keluar daripada parti itu pada malam tahun baru lalu.

Bagaimanapun Mahfuz percaya PAS tidak akan memilih untuk bersama HARAPAN yang terdiri daripada PKR, DAP, Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

“Saya percaya PAS tidak bersedia untuk dilihat sebagai penjilat ludah sendiri selepas memutus hubungan dengan DAP dan PKR kerana dianggap menentang agenda Islam PAS, menganggap BERSATU parti penyangak dan AMANAH parti pengkhianat,” katanya.