Sarawak Keluar BN Baik Untuk PH – Mat Sabu

47
0

KUALA LUMPUR: Tindakan empat parti komponen Barisan Nasional (BN) di Sarawak keluar daripada gabungan itu dilihat sebagai satu perkembangan baik kepada Pakatan Harapan (PH), kata Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu.

Menurutnya, walaupun parti-parti tersebut tidak menyertai PH tetapi tindakan keluar BN itu dilihat kerana mereka mahu bersama-sama dengan Kerajaan Persekutuan yang ditadbir PH.

“Kalau mereka tidak menyertai PH tetapi menyokong kita, barangkali kita boleh dapat sehingga majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat yang mana kita boleh buat pindaan-pindaan terhadap undang-undang yang kita kritik selama ini seperti persempadanan kawasan pilihan raya dan sebagainya.

“Kita akan lihat perkembangan ini dan masih terlalu awal untuk saya komen lanjut tetapi saya yakin tindakan mereka itu mungkin kerana mahu bersama dengan kerajaan di Persekutuan,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama di sini pada Selasa.

Katanya perkembangan terbaharu itu dijangka dibincangkan secara terperinci dalam mesyuarat Majlis Presiden PH akan datang.

Dalam pada itu, Mohamad yang juga Menteri Pertahanan berharap dua lagi negeri yang berada di bawah pentadbiran BN iaitu Perlis dan Pahang untuk mengikuti jejak langkah Sarawak dan bersama dengan Kerajaan Persekutuan.

Katanya, dua negeri itu terutama Pahang tidak boleh ditadbir tanpa bantuan dan sokongan Kerajaan Persekutuan kerana kebergantungan dan kadar hutangnya kepada kerajaan pusat berada pada tahap yang sangat tinggi.

“Negeri yang paling rendah atau hampir tiada hutang kepada Kerajaan Persekutuan ialah Pulau Pinang. Itulah yang telah dilakukan oleh Ketua Menterinya sebelum ini iaitu Lim Guan Eng dan kita harap beliau akan buat lebih hebat lagi sebagai Menteri Kewangan pula,” katanya.