Saarani, 5 ADUN UMNO Beri Keterangan Kepada SPRM

15
0

IPOH: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad serta lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari parti itu hadir memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak hari ini berhubung siasatan terhadap dakwaan wujud gerakan untuk menjatuhkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Lima ADUN berkenaan ialah ADUN Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya, Datuk Sham Mat Sahat (Alor Pongsu), Khairul Shahril Mohamed (Bota), Maslin Sham Razman (Bukit Chandan) dan Dr Jurij Jalaluddin (Lubuk Merbau).

Semua mereka memberi keterangan secara berasingan dimulai oleh Sham pada jam 12.30 tengah hari, diikuti Shahrul Zaman pada jam 2 petang.

Maslin Sham pula mula memberi keterangan pada jam 2.30 petang dan Khairul Shahril serta Saarani sejam kemudian, disusuli Jurij kira-kira jam 5 petang.

Setakat jam 7.30 malam ini, Saarani dan Jurij masih berada dalam pejabat SPRM.

Pengarah SPRM Perak, Datuk Zainul Darus yang dihubungi NSTP, mengesahkan pihaknya merakam percakapan Saarani serta lima ADUN berkenaan.

Sementara itu, Khairul Shahril berkata, beliau menerima panggilan telefon daripada pegawai SPRM kira-kira jam 12 tengah hari dan tiba di pejabat SPRM Perak di Meru Raya di sini, kira-kira jam 3 petang.

Beliau mula memberi keterangan kira-kira setengah jam kemudian dan selesai berbuat demikian pada jam 5 petang.

“Ya, saya salah seorang yang di’approach’ (didekati) oleh sahabat kita (EXCO yang dikatakan mahu menjatuhkan Menteri Besar).

“Orang ‘approach’ kita layan, kita boleh untuk bersama-sama untuk apa juga keadaan,” katanya.

Sementara itu, Maslin Sham berkata, beliau memberi keterangan kira-kira dua setengah jam iaitu bermula jam 2.30 petang sehingga jam 5 petang.

Beliau bagaimanapun enggan mengesahkan sebagai antara seorang daripada lima ADUN Barisan Nasional (BN) yang ditemui seorang EXCO kerajaan negeri untuk menjatuhkan Menteri Besar.

Tetapi, beliau mengesahkan turut membawa dokumen berkaitan termasuk akuan bersumpah (SD) berkaitan isu berkenaan.

“Setakat ini tiada komen (sama ada beliau antara lima ADUN berkenaan), mungkin (SPRM panggil) secara rambang atau rawak sahaja.

“Saya membantu untuk siasatan kes (politik) yang terbaru… saya tidak mahu ganggu siasatan SPRM,” katanya.

Kenderaan Saarani dilihat memasuki kawasan bangunan SPRM Perak kira-kira jam 3.15 petang sebelum beliau memasuki pejabat agensi berkenaan.

Dalam pada itu, Jurij dilihat tiba di pejabat SPRM kira-kira jam 5 petang dan berada di lobi bangunan SPRM negeri sebelum dijemput seorang pegawai jabatan itu untuk masuk ke dalam pejabat.

Semalam, EXCO kerajaan negeri yang juga ADUN Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari, mengesahkan memberi keterangan selama kira-kira dua jam di pejabat SPRM negeri berhubung isu berkenaan.

Kelmarin, pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Saarani mendedahkan Abdul Aziz yang didakwanya cuba menjatuhkan Menteri Besar dan semalam menegaskan mempunyai bukti gambar pertemuan Naib Pengerusi DAP itu bersama ADUN BN selain ada menyimpan SD lima ADUN BN mengenai pertemuan itu.