“Rugi Jika Anggap Tun Razak Melayu Sempit Kerana Asaskan DEB” – Hishammudin

70
0

KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Tun Abdul Razak Hussein tidak wajar dilihat sebagai seorang nasionalis Melayu yang berfikiran sempit kerana mengasaskan pembentukan Dasar Ekonomi Baru (DEB), kata Datuk Seri Hishammudin Hussein.

Malah, Menteri Pertahanan itu berkata, walaupun DEB dibuat untuk kaum Melayu namun ia turut memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Adalah sangat merugikan jika menganggap beliau (Tun Razak) sebagai seorang nasionalis Melayu yang berfikiran sempit.

“Beliau merupakan seorang lelaki yang disayangi dan dihormati oleh semua orang daripada pelbagai lapisan masyarakat. Beliau merupakan lelaki yang akan berkerja serta bergaul dengan semua orang tanpa mengira kaum.

“Walaupun yang mendapat manfaat daripada DEB ialah masyarakat Melayu tetapi secara dasarnya seluruh rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada apa yang dihasilkannya,” kata Hishamuddin.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan di seminar khas bagi memperingati Tun Abdul Razak di Kuala Lumpur hari ini.

DEB adalah program sosio-ekonomi yang diperkenalkan pada tahun 1971yang bertujuan untuk mencapai perpaduan negara untuk mengurangkan dan membasmi kemiskinan dengan meningkatkan pendapatan dan menambah peluang pekerjaan untuk semua rakyat Malaysia.

Dasar itu juga digubal bagi menyelesaikan isu-isu sosio-ekonomi yang membawa kepada rusuhan kaum, 13 Mei 1969. Tetapi ia dikritik kerana dasar itu mewujudkan kelas-kelas tertentu dalam masyarakat.

Selain itu, Hishamuddin yang adalah anak buah kepada Razak juga berkata, bekas perdana menteri kedua itu merupakan seorang pemimpin yang disenangi oleh seluruh rakyat dan seorang yang sentiasa mendengar keluhan masyarakat termasuk dari golongan muda.

“Tun Razak sentiasa mendengar terutamanya daripada golongan muda. Beliau merupakan seorang pemimpin bukan sahaja dalam politik tetapi dalam kerajaan yang mana beliau sentiasa memupuk dan memberi bimbingan.

“Beliau tidak berasa terancam dengan idea-idea baru oleh golongan muda. Sebaliknya, beliau menerimanya dengan hati terbuka,” katanya sambil memberitahu ketika itu Razak dikelilingi oleh golongan muda seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Musa Hitam.