Sejumlah 15 Kereta Polis Kini Di Kediaman Najib

73
0

KUALA LUMPUR: Lebih 15 buah kenderaan dan sebuah trak polis, memasuki perkarangan kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dekat Taman Duta di sini, malam ini.

Enam buah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan selebihnya kenderaan PROTON Preve tertera Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan diiringi dua kereta peronda serta dua motosikal polis, masuk ke perkarangan kediaman Najib, kira-kira jam 10.15 malam.

Pegawai dan anggota penyiasat daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dipercayai terbabit dalam gerakan itu. Mereka dipercayai mahu mengesan bukti serta dokumen berkaitan siasatan yang sedang dijalankan.

Trak polis yang terbabit turut dilihat membawa kotak-kotak yang dipercayai akan digunakan untuk mengisi dokumen dan bahan bukti yang bakal diambil dalam gerakan terbabit.

Sehingga kini, Bukit Aman belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung gerakan yang dilakukan polis terhadap kediaman Najib itu.

Terdahulu, Najib menunaikan solat terawih di Masjid Kampung Baru sebelum pulang ke kediamannya kira-kira jam 9.50 malam, kira-kira 25 minit sebelum kediamannya dikunjungi rombongan polis terbabit.

Selain itu, Peguam Najib, Hasnal Rezua Merican dilihat memasuki kediaman bekas Perdana Menteri, di Jalan Langggak Duta bersama seorang wanita pada jam 11.05 malam.