KUALA LUMPUR: Sebanyak RM7.9 juta dibelanjakan kerajaan sejak 2013 hingga tahun lalu bagi kos rawatan pemulihan dadah, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Beliau memberitahu persidangan Dewan Rakyat hari ini jumlah berkenaan dianggarkan bersamaan RM35 perbelanjaan sehari bagi rawatan pemulihan seorang penagih.
“Jumlah ini meliputi RM2.9 juta pada tahun 2013, RM2.45 juta (2014) dan RM2.5 juta tahun lalu,” katanya menjawab soalan tambahan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (Bebas-Bandar Tun Razak) berkenaan kesediaan kerajaan mengubah polisi dari segi rawatan ketagihan dadah sebagai satu penyakit dan bukan sebagai satu jenayah memandangkan kos rawatan pemulihan dadah adalah tinggi.
Mengulas lanjut Nur Jazlan berkata buat masa sekarang, negara masih lagi meneruskan dasar membanteras dadah sebagai satu jenayah.
Katanya, untuk tempoh itu Pulau Pinang mencatatkan bilangan penagih tertinggi dengan 18,889 orang manakala dari segi pecahan etnik, penagih Melayu adalah yang tertinggi iaitu 100,240 orang.