RM2.6 Bilion Tak Boleh Dilindungi OSA – Tun M

304
0
KONGSI

KUALA LUMPUR: Sumbangan RM2.6 bilion terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bukan rahsia kerajaan kerana ia dikatakan diterima atas kapasiti peribadi, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Dia (Najib) mengaku wang itu hadiah padanya secara peribadi, bukan kerajaan. Dia tidak beritahu pihak berkuasa kerajaan tentang duit itu.

“Malah ia jadi rahsia daripada kerajaan.

“Jelas sekali pemilikan dan pengurusan RM2.6 bilion itu bukan sebahagian daripada kerjanya sebagai perdana menteri Malaysia,” katanya.

Menulis di blog, perdana menteri keempat itu berkata wang itu tidak boleh dilindungi bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Bekas perdana menteri itu berkata, OSA tidak boleh digunakan untuk melindungi perbuatan jenayah yang dilakukan oleh penjawat awam.

Beliau berkata, perbuatan jenayah itu mesti disiasat oleh pihak berkuasa dan mereka yang melakukannya perlu dihadapkan ke mahkamah.

Tambahnya melindungi dan menutup kes itu sendiri adalah satu jenayah.

Beliau merujuk kepada ‘derma’ RM2.6 bilion yang berada dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Apandi telah membebaskan Najib daripada sebarang salah laku jenayah dalam kes ‘derma’ RM2.6 bilion dan juga dana RM42 juta dari SRC International yang juga dijumpai dalam akaun bank Najib.

Mahathir berkata demikian sebagai mengulas cadangan Peguam Negara tan Sri Mohamad Apandi Ali untuk memperkukuhkan OSA supaya mereka yang membocorkan rahsia kerajaan dan wartawan yang melindungi sumber mereka boleh dihukum penjara seumur hidup dan dikenakan 10 sebatan rotan.

Mahathir juga berkata Apandi perlu menyatakan sama ada rancangannya termasuk mengklasifikasikan jenayah yang dilakukan oleh pegawai-pegawai kerajaan sebagai rahsia.

“Peguam Negara perlu menjelaskan sama ada beliau menganggap jenayah yang dilakukan oleh pegawai-pegawai kerajaan sebagai rahsia kerajaan yang perlu disembunyikan dan dilindungi oleh OSA atau tidak,” katanya.

Apandi telah membebaskan Najib daripada sebarang salah laku jenayah dalam kes ‘derma’ RM2.6 bilion dan juga dana RM42 juta dari SRC International yang juga dijumpai dalam akaun bank Najib. – MK